Maqasid Syariah sebagai Teras Pembangunan Hotel Patuh Syariah di Malaysia

Authors:

Abstract
Industri pelancongan halal dan hospitaliti Islam semakin berkembang seiring dengan peningkatan permintaan pengguna Muslim terhadap perkhidmatan yang mematuhi prinsip syariah. Walau bagaimanapun, pembangunan hotel patuh syariah di Malaysia masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ketidakseragaman standard, kekeliruan konsep antara hotel Muslim-friendly dan hotel patuh syariah serta kekangan dalam aspek pelaksanaan operasi. Sehubungan itu, artikel ini bertujuan untuk membincangkan kepentingan Maqasid Syariah sebagai teras pembangunan hotel patuh syariah di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berbentuk kajian kepustakaan melalui analisis dokumen terhadap artikel jurnal, standard hospitaliti halal dan penulisan berkaitan Maqasid Syariah serta industri hospitaliti Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa elemen Maqasid Syariah seperti pemeliharaan agama (hifz al-Din), nyawa (hifz al-Nafs), akal (hifz al-‘Aql), keturunan (hifz al-Nasl) dan harta (hifz al-Mal) mampu menjadi asas penting dalam pembangunan model hotel patuh syariah yang lebih holistik dan lestari. Selain itu, pendekatan berasaskan Maqasid Syariah turut berupaya memperkukuhkan integriti perkhidmatan, meningkatkan keyakinan pengguna serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan halal di Malaysia. Kajian ini diharapkan dapat menjadi rujukan kepada pengusaha hotel, pembuat dasar dan penyelidik dalam memperkasa pembangunan hospitaliti halal yang lebih sistematik dan berdaya saing.